Kemunculan Arapaima Gigas Di Taman Rekreasi Tun Fuad, Kota Kinabalu.

Sekitar Ogos 2019 pengunjung di Taman Rekreasi Tuan Fuad, Kota Kinabalu Sabah dikejutkan dengan penemuan ikan bersaiz besar terapung di permukaan tasik. Setelah di teliti, ikan berkenaan adalah dari jenis Arapaima gigas yang berasal dari Amazon, Amerika Selatan.

Ikan arapaima gigas ini tidak sepatutnya berada di tasik atau sungai negara ini kerana ia adalah ikan yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.

Pada hari berkenaan, seorang pekerja Jabatan Landskap, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di Taman Tun Fuad mengesan sesuatu terapung di tasik sebelum disedari ia adalah seekor ikan gergasi.

arapaima gigas



Ikan arapaima gigas berkenaan kemudian ditarik ke tepi tasik dan ia dianggarkan seberat 108 kilogram dengan panjang badan kira-kira dua meter.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, dalam kenyataan medianya berhubung penemuan itu berkata ikan berkenaan diserahkan kepada Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk bedah siasat.

Ikan Arapaima memang menjadi pilihan bagi sesetengah peminat ikan hiasan. Mungkin kerana tidak mampu untuk menanggung kos memelihara ikan berkenaan, pihak tersebut telah melepaskannya ke dalam tasik berkenaan. Ikan ini memerlukan ruang yang sangat besar untuk memeliharanya.

Baca : Ikan Larangan Di Bawa Masuk Ke Malaysia

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dan sebagainya, bagi Ikan) (Pindaan) 2011, tiada siapa boleh mengimport, menjual, memelihara atau menyimpan ikan hidup daripada spesies berkenaan kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan. Tujuannya bagi memastikan ikan terbabit yang bersifat pemangsa tidak terlepas ke habitat umum di negara ini, kerana ia akan mengancam ikan spesies tempatan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh penyelidik UMS, berat sebenar ikan berkenaan ialah kira-kira 140 kilogram dan ia dipercayai mati akibat faktor usia atau ketiadaan makanan berikutan keadaan perutnya yang didapati kosong.

Sumber :
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/08/594823/ikan-naga-pacu-piranha-antara-ikan-dilarang-import