Jangan Buat Perkara Berikut Semasa Proses Pembiakan Ikan Laga (Betta)

Keghairahan penternak dalam membiakkan ikan laga sangat memberi kesan positif kepada industri ikan laga Malaysia. Kami ingin kongsikan beberapa perkara yang perlu dielakkan semasa proses pembiakan ikan laga ini.

1. Jangan Gunakan Induk Yang Terlalu Muda / Tidak Matang.

Memastikan kematangan ikan laga cukup bagi mengelakkan ia terlalu awal untuk dibiakkan. Ikan laga yang matang untuk dibiakkan adalah sekitar lima atau enam bulan. Walaupun bawah dari usia tersebut ikan ini sememangnya boleh bertelur dan membiak, namun kesan dari ‘perkahwinan’ awal ini dapat dilihat pada anak-anak ikan. Kemungkinan tumbesaran anak-anak ikan ini menjadi lambat dan kurang dalam saiz yang diinginkan.

2. Jangan Terburu-buru Semasa Proses Suai Kenal.

Memastikan proses pengenalan yang cukup serta ‘pairing’ atau pasangan yang sesuai. Ikan laga mempunyai ritual pengenalan yang unik, dimana pasang ini akan disatukan bagi memberi ruang dan masa kepada si jantan menunjukkan tarikan yang ia ada pada si betina. Jika proses ini tidak dilakukan dengan baik atau mencukupi maka matlamat kepada kesinambungan pembiakan ini tidak akan terjadi dan yang paling teruk apabila si betina mati akibat dari proses pengenalan yang tidak mencukupi ini.

3. Jangan Bagi Makanan Yang Salah.

Pemberian dan pemilihan makanan semasa anak-anak ikan laga mencapai usia 3 hari amat penting bagi kelangsungan hidup. Pada usia begini, kantung makanan yang terdapat pada perut anak ikan laga sudah mula menyusut. Sebagai pembiak ikan, masa ini adalah masa yang penting dalam membekalkan nutrien kepada ikan-ikan ini. Makanan yang hendak diberikan pula perlu sesuai dengan saiz mulut dan kandungan yang terdapat padanya. Antara makanan yang baik bagi anak-anak ikan laga ini ialah kutu air. Selain itu, bbs juga boleh diberikan kepada anak ikan namun bbs tidak dapat hidup lama kerana kondisi hidup persekitaran berbeza. Bagi pandangan penulis, kutu air adalah yang terbaik.

4. Jangan Letakkan Ikan Di Tempat / Bekas Kecil.

Tempat ikan yang sesuai dengan saiz dan jumlah ikan. Mengambil kira faktor kawasan, bekas yang disediakan untuk ikan laga adalah sangat penting, saingan daripada ikan-ikan yang lain boleh mengakibatkan beberapa ikan atau terdapat ikan dominen terhadap makanan yang diberikan. Penyediaan tempat ini ditujukan sewaktu ikan-ikan tersebut masih di dalam takungan bersama iaitu sebelum di asingkan (jar). Walaupun makanan yang diberikan mencukupi atau diberi lebih, tumbesaran ikan yang tidak sekata pasti akan berlaku. Jadi tempat yang juga memainkan peranan penting dalam kematangan ikan ini.

5. Jangan Kerap Mengalihkan Tempat / Bekas Pembiakan.

Istilah ‘Stress’ dalam dunia penternakan memang tidak asing lagi. Ikan laga juga tidak terkecuali dengan keadaan ‘stress’ ini. Sewaktu ikan sedang di ‘mating’kan, atau sedang menjaga telur-telur atau anak-anak. Pembiak dinasihatkan untuk mengurangkan gangguan terhadap ikan. Terutamanya gangguan yang melibatkan suasana serta kondisi tempat pembiakan. Selalu mengalih tempat, dan selalu mendedahkan tempat ikan terhadap cahaya atau selalu menjenguk keadaan ikan. Nampak seperti ianya perkara atau hal yang remeh, akan tetapi ia tetap menjadi faktor kepada kesihatan ikan tersebut. Lebih parah apabila induk ikan akan mengancam atau memakan anak-anak nya sendiri.

6. Jangan Guna Air Paip Berklorin Tinggi.

Bagi memastikan kandungan PH air dijaga dengan baik, rutin kita sebagai pembiak harus sentiasa teliti dan konsisten. Air yang sesuai menjamin kepada kesihatan ikan dari terkena pelbagai penyakit yang boleh mematikan mereka. Tidak kira apa kondisi cuaca sekalipun, pastikan air sentiasa bersih dan kualiti sentiasa terjaga. Penggunaan ubat-ubatan dan pelbagai tumbuhan semulajadi seperti ketapang, dapat membantu dalam proses menstabilkan kualiti air.

Kesimpulannya, jika anda bukan orang yang sabar dan konsisten, maka sukar untuk anda menjadi seorang pembiak / breeder yang baik. Ilmu pengetahuan juga sangat membantu dalam menjadikan anda seorang yang mahir dan berjaya. Tambahkan ilmu dengan membaca dan lawat la ‘farm’ sahabat sehobi untuk support dan mencedok ilmu supaya anda tidak ‘terciduk’.