Tujuh (7) Jenis Ikan Air Tawar Yang Mudah Di Pelihara Sebagai Permulaan

Kami senaraikan tujuh (7) jenis ikan air tawar yang mudah untuk di pelihara sebagai permulaan bagi mereka yang ingin memulakan hobi ikan hiasan. Turutan nama-nama ikan ini tidak mengikut sebarang justifikasi.

Kebanyakkan ikan hiasan yang kami senaraikan ini tidak memerlukan saiz akuarium yang besar dan juga tidak memerlukan oksigen yang tinggi serta sebarang peralatan istimewa.

1. Ikan Laga (Betta).


Betta mempunyai bentuk yang sangat menarik. Liuk lentoknya ibarat seorang atlit gimrama (kategori ribbon) yang sedang membuat persembahan mampu membuatkan mereka yang melihatnya terpesona. Ikan ini mudah di pelihara kerana tidak memerlukan akuarium bersaiz besar. Soal pemakanannya juga tidak rumit, ianya boleh diberikan jentik-jetik, kutu air atau pun cacing halus yang boleh didapati di kedai ikan hiasan.

2. Ikan Guppy.

Kecantikan ikan ini terletak pada ekornya (jantan). Ikan jenis ini juga mudah membiak dan dijaga. Lebih menarik jika ikan ini dipelihara dengan pelbagai jenis warna

3. Ikan Ekor Pedang (Sword Tail).


Nama ikan ini sudah menggambarkan bentuknya yang cantik. Ianya memiliki ekor yang mirip seperti pedang di bahagian sirip bawahnya. Ikan ini tidak mempunyai pelbagai warna di badannya seperti ikan laga dan ikan guppy.

4. Ikan Molly.


Bentuk ikan ini agak lucu kerana mempunyai saiz yang kecil dan agak gemuk. Sifat-sifat ikan ini hampir menyamai ikan guppy. Tapi ikan ini juga mempunyai penggemarnya sendiri. Warnanya yang pelbagai juga boleh menjadi daya penarik akuarium anda.

5. Ikan Tetra.


Mempunyai bentuk badan yang sangat halus, ikan ini sangat cantik jika di pelihara dalam jumlah yang banyak. Sifat ikan ini yang suka berenang secara berkumpulan pastinya menarik untuk dilihat dan mampu memberi ketenangan kepada yang melihatnya.

6. Ikan Black Ghost.


Bentuk ikan ini agak unik. Ianya mempunyai bentuk badan yang panjang dan hanya mempunyai sirip di bahagian bawah badannya. Ikan ini hanya terdapat di dalam warna hitam.

7. Ikan Pleco (Ikan Bandaraya)


Ikan ini wajib ada di dalam setiap akuarium anda. Sifat pembersih ikan ini yang akan memakan alga (lumut) dan rumpai air mampu mengekalkan kecantikan akuarium anda.

Itu tadi jenis-jenis ikan yang mampu di pelihara pada kos yang rendah untuk mereka yang baru memulakan hobi akuatik ini.