Baung Ekor Merah Bukan Spesis Tempatan

Bagi kebanyakkan kaki pancing, ikan baung merah pasti menjadi buruan mereka jika turun ke sungai. Lebih-lebih lagi jika dapat menaikkan ikan pada saiz yang besar 10kg dan ke atas. Kesusahan dan kepayahan bertarung dengan ikan sebesar itu pasti memberikan kepuasan kepada kaki pancing.

Seorang pengguna facebook Nizam Zam melalui postingnya di facebook menyatakan dia berjaya menaikkan ikan baung merah lebih 30 ekor dalam masa sebulan di Sungai Pahang.



Walaupun menjadi buruan kaki pancing, ikan ini sebenarnya bukan ikan tempatan.

Ikan baung ekor merah sebenarnya adalah spesies yang berasal dari Vietnam. Nama saintifik ikan ini ialah Hemibagrus Wyckioides (Asia Redtail Catfish) dari genus Bagridae. Ianya banyak di temui di Lembangan Sungai Mekong dan juga Lembangan Chao Phraya.

Dilaporkan ikan baung merah ini mampu mencapai panjang 130cm dan boleh mencecah berat sehingga 80kg.

Ikan ini dikategorikan sebagai ikan pemangsa dan boleh mengganggu ekosistem perairan tempatan.

Habitat ikan ini ialah di sungai berlumpur besar dengan arus yang perlahan dan dasar yang lembut. Ianya selesa berada di kedalaman air 5 meter dan lebih.

Menurut ramai kaki pancing, ikan ini mudah di pancing dengan menggunakan anak ikan keli.

Dalam satu laporan berita, Jabatan Perikanan Pahang melarang penternak ikan baung ekor merah dalam sangkar di negeri berkenaan, melepaskan ikan berkenaan ke dalam sungai bagi mengelak kesan negatif pada ekosistem.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, mereka yang menternak secara dalam sangkar perlu melakukan pengawalan yang terbaik bagi memastikan ikan berkenaan tidak terlepas ke perairan umum.

Terdapat ramai penternak di beberapa daerah di negeri Pahang menternak ikan baung ekor merah dengan alasan sambutan menggalakkan daripada pelanggan selain harga yang tinggi.


Sumber :
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/01/524638/jangan-lepaskan-baung-ekor-merah-ke-sungai